Zulrizq Hartanah

Home > GARIS PANDUAN UNTUK APARTMENT ATAU KONDO > Zulrizq Hartanah

GARIS PANDUAN UNTUK APARTMENT ATAU KONDO

Garis Panduan Untuk Apartment @ Kondo

Beli Hartanah dengan minimum 2 Bilik Mandi

Pada hari ini, 10 orang (di dalam satu rumah) berkongsi satu tandas tidak lagi bersesuaian. Memiliki sekurang-kurangnya 2 tandas telah menjadi suatu kemestian. Bagi apartment jenis studio, berusahalah mendapatkan unit yang mempunyai minimum 2 bilik mandi atau yang mempunyai kemudahan tandas dan bilik mandi yang berasingan.

Beli Unit yang Terletak Jauh dari Tempat Pembuangan Sampah, Lif dan Tangga

Sebab-sebabnya ialah, anda pasti tidak mahu bau busuk dari tempat sampah meresap masuk ke dalam rumah anda serta menarik perhatian tetamu yang tidak diundang seperti lalat dan ulat.

Beli unit yang terletak jauh dari lif dan tangga kerana ia merupakan tempat-tempat di mana ramai orang akan turun naik. bercakap-cakap, menjerit serta menjadi tempat tumpuan vandalisme, di mana mereka akan mempamerkan hasil kerja ‘kreatif’ mereka. Selain itu, pasti anda juga tidak mahu jiran-jiran anda melintasi apartment anda sambil meninjau-ninjau ke dalam sementara menunggu lif. Pasangan-pasangan muda pula suka bersidai di kawasan tangga untuk bersembang da membuat bising. Ia juga menjadi tempat mereka membuang sampah sarap.

Ruang Letak Kereta yang Mencukupi

Pada hari ini, telah menjadi trend kepada pemaju untuk memperuntukan hanya 1 ruang melatak kenderaan bagi setiap unit kondo. Yang menjadi masalah, kebanyakan pasangan atau keluarga mempunyai 2 atau lebih khususnya jika kondo di situ tidak mempunyai perkhidmatan bas awam atau terletak agak jauh untuk ke steses tren yang berhampiran. Jadi, di mana akan anda letakkan kenderaan anda yang lain? Ini perlu difikirkan. Bukan anda seorang sahaja yang akan mempunyai masalah ini tetapi beratus-ratus penghuni di kondo tersebut.

Jika anda melintasi beberapa kondo sewaktu awal pagi, lewat petang atau ketika hujung minggu, anda akan melihat begitu banyak kereta yang diletakkan di tepi jalan, bukan saja di sebelah jalan malahan kedua-dua belah jalan. Ini menimbulkan masalah. Jalan masuk menjadi sempit dan jika anda perlu meletak kenderaan di luar, anda menanggung risiko disaman oleh pihak berkuasa. Jika anda pulang lewat malam, anda tidak mempunyai pilihan selain meletak kenderaan anda setengah batu jaraknya. Anda juga menanggung risiko berhubung keselamatan diri andaikata lampu jalan tidak berfungsi. Berusahalah untuk mendapat kondo yang menyediakan sekurang-kurangnya 1 @ 2 tempat meletak kenderaan untuk setiap unit dan mempunyai banyak ruang meletak kenderaan untuk pelawat.

Di beberapa kawasan padat seperti New York, Sydney atau Hong Kong, nilai  ruang meletak kenderaan di kawasan bandar boleh mencapai beberapa ratus ribu ringgit. Nilainya mungkin lebih tinggi dari nilai kereta yang diletakkan di situ !

Tip : Jika kondo anda terletak berdekatan kawasan pejabat dan terdapat masalah kekurangan tempat meletak kenderaan, anda boleh menyewakan ruang tambahan yang dikhaskan untuk anda kepada pekerja pejabat yang bekerja di kawasan itu sewaktu siang. Anda tidak memerlukannya kerana anda meletak kenderaan anda di tempat kerja. Anda mampu mendapat beberapa ratus ringgit sebulan dengan menyewakan ruang meletak kenderaan anda secara berasingan.

Ketinggian Siling

Pastikan ketinggian siling memadai, iaitu melebihi 10 kaki agar peredaran udara mencukupi dan juga untuk mengelakkan perasaan klaustrofobia (takut dengan ruang sempit). Saya telah melihat ramai pemaju yang menyingkatkan proses pembinaan dan membina lebih banyak unit di atas satu sama lain dengan ketinggian siling yang lebih rendah.

Di beberapa blok apartment, apabila anda melihat dari luar, blok apartment itu akan kelihatan seolah-olah mempunyai 20 tingkat. Tetapi apabila memasuki lif, anda akan terkejut apabila mendapati terdapat 25 tingkat ! Anda akan faham apabila memasuki apartment itu. Ketinggian silingnya amat rendah. Jika anda mengangkat tangan, berkemungkinan kipas siling akan mencederakan jari-jari anda.

Untuk Tujuan Pelaburan,

a) Beli apartment 1 @ 2 bilik tidur dan bukannya 3 bilik tidur

Lebih mudah dan pantas untuk menyewakan unit 1 @ 2 bilik tidur berbanding unit 3 bilik yang lebih besar. Bergantung kepada lokasi dan faktor-faktor lain, unit dengan 3 bilik boleh mengambil masa sehingga 6 bulan atau lebih untuk disewakan. Walhal unit-unit lebih kecil boleh disewakan segera dalam tempoh 1 @ 2 bulan.

Mengapa ini berlaku? Sebabnya mudah, kumpulan penyewa untuk unit-unit 1 dan 2 bilik tidur adalah lebih ramai. Orang bujang, pasangan atau mereka yang menpunyai keluarga kecil boleh tinggal di unit-unit ini. Sewanya lebih rendah dan kerja-kerja mengemas juga lebih mudah. Untuk apartment 3 bilik, anda perlu mensasarkan kepada keluarga yang mempunyai anak remaja atau orang dewasa. Oleh kerana kumpulan penyewa berpotensi anda menjadi lebih kecil, masa yang diambil untuk mencari penyewa yang bersesuaian lazimnya menjadi lebih panjang. Masa adalah wang dalam pelaburan hartanah.

b) Beli Unit di Tingkat Bawah

Jika anda membeli dari pemaju, semakin tinggi unitnya maka semakin mahal harganya. Tingkat yang lebih tinggi dikenakan kos premium kerana pemandangannya lebih cantik. Dari segi sewa, sama ada ia adalah unit tingkat bawah atau tinggi tidak memberikan impak. Penyewa lazimnya tidak membayar premium untuk tingkat lebih tinggi. Kebanyakan penyewa hanya mahukan tempat tinggal yang selesa dengan kadar sewa yang serendah mungkin. Oleh itu, tiada gunanya membayar lebih untuk mendapatkan unit yang lebih tinggi. Kesimpulannya, satu-satunya manfaat yang anda perolehi adalah, pada kadar sewa yang sama, kebanyakan penyewa akan memilih unit di tingkat yang lebih tinggi berbanding yang rendah.

Mari Kita menelitu beberapa aspek negatif yang peru anda ambil perhatian:

#Elakkan Tingkat Paling Tinggi atau Tingkat Kedua Paling Tinggi

Sebab-sebabnya:

a) Tekanan Air Rendah. Oleh kerana tangki air terletak di bumbung atas, tekanan air untuk unit teratas amat rendah berbanding unit-unit di tingkat bawah. Mungkin anda perlu memasang pam air untuk mendapatkan tekanan air yang mencukupi.

b) Sekiranya Bumbung tidak dibina dengan baik, apartment itu mungkin amat panas pada waktu tengahari atau mungkin akan terdapat masalah peresapan air.

c) Antena Telefon Bimbit. Hampir setiap orang pada hari ini memiliki telefon bimbit. Bagaimana jika terdapat aerial telefon bimbit atau menara transmisi yang dipasang pada bumbung? Walaupun belum dibuktikan secara saintifik, mungkin ada risiko keatas kesihatan. Anda harus ingat, bumbung tidak dimiliki oleh orang yang membeli unit paling atas. Ia dimiliki oleh pemaju dan mereka bebas memasang apa saja yang mereka mahu di atasnya.

#Elak dari Membeli Unit Paling Besar

Jangan beli unit paling besar di kondo khususnya emper (penthouse). Cuba dapatkan unit yang lebih kecil kerana ia lebih murah untuk disewakan dan/atau dijual. Kumpulan penyewa atau pembeli berpotensi anda juga lebih besar. Tambahan pula, kebanyakan dibina di tingkat paling atas, yang mungkin mengalami masalah seperti yang telah ditonjolkan sebelum ini.

Sebabnya ialah, sukar untuk mendapatkan penyewa yang tidak akan kisah seandainya perlu turun atau naik 3 hingga 4 tangga setiap hari. Tambahan pula, pasti meletihkan jika baru pulang dari membeli-belah dengan barangan yang banyak , atau apabila pulang dari luar negara dengan bagasi yang berat. Warga emas juga akan menghadapi masalah untuk menaiki dan menuruni tangga. Kebaikan yang ada hanyalah sekadar menikmati lebih kebebasan serta kurangnya pelawat.

#Elak Unit di Tingkat Paling Bawah 

Di kawasan-kawasan yang cenderung mengalami banjir, unit-unit di tingkat paling bawah akan mengalami masalah banjir. Jika apartment tersebut berhadapan dengan tempat meletak kenderaan atau lebuh raya, lampu hadapan kenderaan, bunyi deruan enjin, muzik yang kuat dan amaran palsu dari kenderaan boleh mengganggu ketenangan keluarga anda. Kebebasan anda juga akan tersekat kerana ramai orang yang akan lalu lalang. Unit di tingkat paling bawah juga lebih mudah terkena infestasi anai-anai berbanding unit di tingkat atas. Akhir sekali, jika penghuni di tingkat atas memiliki tabiat membuang sampah dari atas, cuba bayangkan ke mana akhirnya sampah sarap itu akan terbiar.

Oleh : Milan Doshi