Zulrizq Hartanah

Home > 4 CARA CLAIM INSURANS RUMAH BANJIR > Zulrizq Hartanah

4 CARA CLAIM INSURANS RUMAH BANJIR

Versi asal artikel ini adalah hak milik Pesan by Qoala, Qoala Malaysia.

4 Cara Claim Insurans Rumah Banjir

Setiap kali apabila hujan lebat berlarutan dalam masa yang lama, pasti akan ada kebimbangan atau kerisauan berlakunya banjir terutamanya bagi penduduk di kawasan rendah dan berisiko tinggi. Sekiranya anda tidak memiliki polisi insurans rumah banjir atau insurans bencana alam, keadaan kewangan anda mungkin akan terkesan dengan teruk untuk menampung kos kerugian rumah banjir. Apabila berdepan dengan situasi seperti ini, apa yang anda harus lakukan untuk memastikan anda mendapat hak pampasan? Artikel ini akan menjelaskan kepentingan insurans banjir dan cara claim insurans banjir yang anda perlu tahu.

Cara Claim Insurans Sekiranya Rumah Terkesan Banjir 

Secara amnya, insurans banjir tidak termasuk dalam pakej asas insurans rumah anda. Ini bermaksud, anda perlu membayar amaun tambahan untuk mendapatkan polisi insurans banjir. Biasanya, insurans asas rumah hanya melindungi  kerosakan-kerosakan yang berpunca daripada api, petir dan letupan.

Namun begitu, terdapat juga kemungkinan polisi insurans banjir sudah termasuk dalam polisi insurans rumah anda. Hal ini kerana, pihak bank juga mempunyai kepentingan yang perlu dijaga. Contohnya, sekiranya rumah anda runtuh akibat banjir, pihak bank juga akan mengalami kerugian kerana mereka yang telah memberikan pinjaman kepada anda. Katakanlah anda tidak mampu untuk bayar loan rumah, bank tidak akan dapat lelong rumah atau mengambil hak sepenuhnya ke atas rumah tersebut sekiranya rumah anda musnah.

Untuk mendapatkan kepastian sama ada anda mempunyai insurans banjir atau tidak, anda boleh semak semula dengan pihak bank yang telah memberi pinjaman perumahan kepada anda. Jika banjir berlaku, ikuti langkah-langkah berikut untuk anda membuat tuntutan insurans banjir:

        1. Anda perlu maklumkan kepada pihak ejen anda atau pihak insurans mengenai maklumat kerugian harta benda.
        2. Seterusnya, anda perlu pastikan semua maklumat lengkap serta dokumen yang berkaitan termasuk gambar telah disediakan untuk diberikan kepada pihak panel insurans.
        3. Pihak Insurans akan membuat pemeriksaan lanjut dan menentukan tahap kerugian.
        4. Pihak panel insurans akan membantu anda membuat tuntutan mengikut jumlah perlindungan yang telah dipersetujui dalam polisi sebelum ini.

Cara Beli Insurans Rumah Banjir

Banjir merupakan satu tragedi yang berisiko mengakibatkan kerosakan yang dahsyat dan memusnahkan harta benda termasuk rumah, perabot, kereta, ternakan dan sebagainya. Anda boleh lihat sendiri di akhbar-akhbar atau media sosial yang menunjukkan kesan banjir seperti rumah tenggelam, perabot dan harta benda rosak, kereta ditelenggami air dan sebagainya. Oleh sebab itu, sebagai langkah berjaga-jaga, memiliki insurans banjir ini teramatlah penting. Sekiranya anda masih belum mempunyai polisi insurans banjir, ikuti langkah-langkah berikut terlebih dahulu:

        1. Anda boleh mencari polisi insurans rumah untuk perlindungan banjir dengan bertanyakan kepada agensi insurans atau mencari pelan insurans yang sesuai di laman web.
        2. Untuk mengetahui kadar bayaran premium insurans rumah banjir, anda boleh dapatkan khidmat ejen insurans atau anda juga boleh membuat pengiraan melalui kalkulator insurans yang disediakan di laman web syarikat insurans yang anda pilih.
        3. Semak dan bandingkan setiap polisi insurans yang disediakan.
        4. Anda boleh memilih pakej yang anda mahukan.

Anda disarankan untuk tidak hanya membandingkan harga semata-mata. Kenal pasti perlindungan harta benda yang ditawarkan bagi setiap polisi insurans yang disediakan. Selepas anda sudah memilih polisi insurans rumah terbaik untuk anda, anda kini boleh menghela nafas lega kerana rumah anda kini dilindungi sekiranya kerugian berlaku disebabkan banjir.

Di Mana Anda Boleh Membuat Tuntutan Insurans Rumah Banjir?

Di Malaysia, terdapat pelbagai syarikat insurans yang menawarkan polisi insurans banjir. Berikut dua platform tuntutan insurans banjir yang boleh anda pertimbangkan:

Tuntutan Banjir LPPSA

Bagi penjawat awam yang mengambil skim pembiayaan di bawah LPPSA, anda juga sebenarnya boleh membuat tuntutan insurans banjir melalui panel insurans yang berdaftar dengan skim perumahan LPPSA anda. Walau bagaimanapun, bukan semua panel insurans di bawah LPPSA yang menawarkan perlindungan daripada banjir. Anda perlu menyemak polisi insurans anda bagi memastikan sama ada anda boleh membuat tuntutan atau tidak.

Secara asasnya, semua pembiayaan perumahan sektor awam di bawah LPPSA adalah dilindungi oleh Polisi Perlindungan Pemilikan Rumah Jangka Panjang (LTHO) daripada panel insurans atau takaful LPPSA yang telah dipilih oleh pelanggan semasa mengemukakan permohonan pembiayaan. Panel insurans untuk tuntutan insurans LTHO  adalah seperti berikut:

        1. Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad
        2. Takaful Ikhlas General Berhad
        3. Etiqa General Takaful & General Insurans Berhad
        4. Zurich General Takaful Berhad

Tuntutan Banjir Melalui Syarikat Insurans Pilihan Anda

Berikut adalah antara syarikat insurans yang menawarkan polisi insurans banjir yang anda patut pertimbangkan:

Syarikat Insurans (Nama Polisi)Perlindungan yang Ditawarkan
Etiqa

(Insurans Pemilik Rumah/Isi Rumah)

  • Bangunan
  • Isi rumah
  • Bangunan dan Isi rumah
Tune Protect 

(Tune Protect Home Easy)

  • Bangunan dan Isi rumah
AXA

(SmartHome Optimum)

  • Bangunan
  • Isi rumah
Takaful Ikhlas

(IKHLAS Home Protect Takaful)

  • Bangunan dan Isi rumah
Zurich

(Perlindungan Rumah atau Isi rumah)

  • Pemilik rumah
  • Isi rumah

insurans rumah banjir

Semua yang Anda Perlu Tahu Tentang Insurans Rumah Banjir

Di Malaysia, kejadian banjir merupakan sesuatu yang kerap terjadi dan setiap kali ia berlaku, pemilik kediaman yang terkesan pasti akan mengalami kerugian yang besar. Tidak kiralah rumah anda rumah subsale atau undercon, insurans banjir merupakan salah satu strategi terbaik untuk melindungi kewangan anda.

Walaupun anda mungkin rasa yang kawasan rumah anda bukanlah kawasan yang berisiko terhadap bencana banjir atau tanah runtuh, anda masih disarankan untuk mendapatkan polisi insurans ini. Hal ini kerana, situasi seperti banjir berlaku di luar jangkaan dan kawalan kita sebagai manusia. Namun begitu, ada satu perkara yang andaboleh kawal iaitu cara anda menguruskan dan merancang kewangan.

Dengan memiliki insurans banjir, anda akan dapat melindungi diri anda daripada mengeluarkan kos yang besar untuk menampung kerugian. Selain itu, insurans banjir juga dapat memastikan diri anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang potensi risiko termasuklah bencana alam ini.

Polisi insurans banjir boleh membantu anda dari segi kewangan untuk memulihkan kembali keadaan rumah anda tanpa mengeluarkan simpanan, berhutang atau mengharapkan bantuan daripada kerajaan atau NGO. Anda hanya perlu membuat tuntutan dan wang pampasan akan diberikan untuk membantu meringankan beban anda menanggung kos kerugian.

Kelebihan Insurans Rumah Banjir

Berikut merupakan kepentingan insurans rumah banjir yang akan membantu anda menghadapi bencana banjir:

1. Harga Mampu Milik & Melindungi Harta Anda

Walaupun anda mungkin perlu berbelanja lebih setiap bulan untuk mendapatkan polisi insurans ini, anda perlu sedar bahawa kosnya jauh lebih murah berbanding dengan kos yang anda perlu tanggung sekiranya rumah anda dilanda banjir.

Seperti yang telah dinyatakan pada awal tadi, perlindungan ini bukan hanya melindungi rumah anda, malah ia juga akan melindungi kewangan anda sendiri. Contohnya, perabot di rumah rosak disebabkan banjir, anda tidak perlu mengeluarkan semua wang sendiri di bank kerana anda boleh claim insurans dan beban anda akan dapat diringankan.

2. Bantu Anda untuk Sentiasa Bersedia 

Insurans banjir merupakan cara yang bijak dan terbaik yang boleh membantu anda untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya banjir. Anda tidak perlu risau mengenai kos-kos kerugian yang perlu anda tanggung kerana anda tahu polisi insurans banjir yang anda ambil boleh membantu meringankan beban kewangan anda.

Secara umumnya, banjir berlaku disebabkan hujan dan monsun. Namun begitu, banjir juga boleh berlaku disebabkan masalah sistem perparitan yang tersumbat atau tidak diselenggara dengan baik. Oleh sebab itu, jika anda beranggapan yang kawasan rumah anda tidak akan dinaiki air, anda mungkin perlu fikir semula dan pertimbangkan untuk mengambil polisi insurans banjir kerana apa-apa sahaja boleh berlaku.

Ciri-ciri Insurans Rumah Banjir yang Wajib Ada dalam Polisi

Terdapat banyak pilihan polisi insurans yang anda boleh pilih sesuai dengan keperluan anda. Untuk memastikan anda mendapat polisi insurans banjir yang terbaik, anda perlu memastikan yang polisi anda memiliki ciri-ciri yang berikut:

1. Melindungi Kerosakan Struktur Binaan Rumah

Perkara pertama yang anda perlu pastikan adalah polisi insurans anda melindungi kerosakan struktur binaan rumah seperti dinding, bumbung dan lain-lain. Walaupun rumah anda dibina dengan kukuh, arus air banjir yang deras dan kuat mampu merosakkan struktur binaan rumah anda.

 2. Melindungi Kerugian Perabot dan Barangan dalam Rumah

Pastikan perabot atau kelengkapan dalam rumah seperti perkakasan elektrik dan sebagainya turut dilindungi sebelum anda memilih polisi insurans banjir anda. Kebiasaannya, kebanyakan polisi banjir di pasaran hanya melindungi kelengkapan asas dalam rumah seperti perabot . Tetapi, ada juga sesetengah polisi insurans yang turut menawarkan perlindungan kerosakan barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk. Walaubagaimanapun, kos hiasan atau dekorasi rumah pula tidak tertakluk pada pampasan untuk kerugian ini.

Kesimpulannya, insurans rumah banjir atau insurans bencana alam ini sangat penting untuk melindungi rumah anda. Ingat, anda telah membuat satu pelaburan yang sangat besar untuk memiliki rumah anda sekarang ini. Jadi, berbelanjalah lebih sedikit untuk mendapatkan polisi insurans rumah banjir ini demi kebaikan anda dan keluarga tersayang.

=======
Anda ada permasalahan dengan isu hartanah? Tak tau mana nak rujuk?
Hubungi ejen perunding hartanah berdaftar kami !!
Zulmahizam Marzuki (REN 11255) 012- 322 5960
Salawati Jalldin (PEA 1380) 012- 320 5960