Zulrizq Hartanah

Home > Panduan Lengkap Cara Tukar Nama Geran Tanah di Malaysia > Zulrizq Hartanah

Panduan Lengkap Cara Tukar Nama Geran Tanah di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Dec 12, 2022 oleh Hariz Hafiz
Panduan Lengkap Cara Tukar Nama Geran Tanah di Malaysia

Tukar nama geran tanah merupakan transaksi pindah milik pemilikan hartanah daripada seseorang individu kepada individu yang lain. Sekiranya anda ingin tukar nama dalam geran tanah kepada ahli keluarga seperti anak atau isteri, atau anda ingin tukar nama geran kerana anda jual rumah atau beli rumah baharu, proses pertukaran nama geran tanah adalah proses wajib yang perlu dilakukan. Jika tidak, nama pemilik hartanah baharu tersebut tidak boleh didaftarkan dalam geran tanah di Pejabat Tanah.

Prosedur Tukar Nama Geran Tanah di Malaysia

Ada beberapa situasi yang memerlukan anda untuk tukar nama geran tanah. Penukaran nama geran rumah biasanya berlaku disebabkan penceraian, pembahagian faraid, penjualan aset rumah dan sebagainya. Berikut merupakan cara tukar nama geran tanah di Malaysia untuk rujukan dan panduan anda:

1. Hadir ke Pejabat Tanah

Anda perlu ke mana-mana Pejabat Tanah berdekatan anda. Pastikan anda bawa dokumen dan perkara penting yang diperlukan untuk memudahkan proses pertukaran nama pemilik tanah seperti:

        1. Geran rumah atau geran tanah asal beserta salinan;
        2. Pembeli/Pemilik baharu perlu hadir termasuk semua yang berkaitan (jika nama lebih daripada seorang);
        3. Kad pengenalan kedua-dua pemilik lama dan pemilik baharu (dan semua yang berkaitan);
        4. Pen hitam dakwat cair (pen ballpen tidak dibenarkan).

2. Isi Borang Diperlukan

Isi Borang 14A dengan menggunakan pen hitam dakwat cair. Borang 14A merupakan Borang Pindahmilik Tanah, Bahagian atau Pusaka yang perlu diisi oleh penama rumah, pembeli dan penjual rumah tersebut di hadapan peguam atau pegawai pentadbir. Oleh sebab itu, semua pihak yang berkenaan harus hadir ketika borang ini diisi. Borang yang telah lengkap diisi boleh diserahkan ke kaunter Pejabat Tanah.

3. Pengesahan Pentadbir Tanah

Kemudian, anda perlu mengambil nombor giliran untuk berurusan dengan pentadbir tanah. Sekiranya semua maklumat yang diperlukan lengkap, pentadbir tanah akan meminta anda untuk menurunkan cap jari pemilik lama dan pemilik baharu pada borang 14A. Pentadbir tanah kemudian menandatangani borang 14A di mana-mana bahagian yang berkenaan.

4. Bayar Duti Setem

Seterusnya, anda kemudiannya dikehendaki untuk ke kaunter LHDN berhampiran untuk membuat bayaran duti setem. Anda perlu mengisi borang PDS 15 dengan lengkap dan serahkan borang tersebut bersama lima salinan dokumen-dokumen berikut:

        1. Borang 14A;
        2. Geran tanah asal;
        3. Kad pengenalan pemilik lama;
        4. Kad pengenalan pemilik baharu;
        5. Surat beranak/Sijil kelahiran.

Pihak LHDN biasanya akan menelefon anda dalam tempoh 30 dari tarikh penerimaan borang untuk memaklumkan anda semuanya telah selesai.

5. Bahagian Pendaftaran/Pentadbiran Pejabat Tanah

Selepas kedua-dua proses berkaitan borang tersebut selesai, anda perlu membuat pendaftaran geran hartanah pula. Sekiranya anda masih belum menjelaskan apa-apa tunggakan cukai seperti cukai pintu, cukai tanah dan sebagainya, anda disarankan untuk bayar tunggakan cukai tahun semasa terlebih dahulu. Anda perlu hadir ke Pejabat Tanah dan bawa bersama dokumen-dokumen seperti berikut:

        1. Borang 14A asal;
        2. Geran tanah asal;
        3. Nota taksiran LHDN asal;
        4. Salinan kad pengenalan semua pihak yang berkaitan;
        5. Duti setem LHDN;
        6. Salinan resit cukai tanah dan cukai pintu.

Kemudian, hantar borang 14A berserta dokumen-dokumen yang diperlukan dan tunggu sehingga surat untuk ambil geran anda sampai ke rumah.

6. Tukar Nama Geran Tanah Selesai

Selesai. Surat makluman pengambilan geran siap biasanya memakan masa yang agak lama biasanya sekitar satu ke dua bulan.

tukar nama geran tanah

Kos Tukar Nama Geran Tanah (2022) Terkini di Malaysia

Secara asasnya, proses tukar nama geran tanah tertakluk pada kos-kos tertentu. Sekiranya anda berhasrat untuk memindahkan hak milik tanah, berikut antara perkara-perkara yang perlu anda beri perhatian:

1. Duti Setem Perjanjian Jual Beli (SPA)

Duti setem perlu dibayar sekiranya anda beli hartanah di Malaysia. Kadar peratusan duti setem adalah mengikut nilaian hartanah semasa dan dikira berdasarkan jadual seperti berikut:

Peringkat Harga RumahDuti Setem (%)
RM100,000 pertama1
RM400,000 seterusnya (RM100,001 – RM500,000)2
Jumlah seterusnya sehingga RM1 juta (RM500,001 – RM1 juta)3
Jumlah seterusnya (RM1 Juta dan ke atas)4

Sebagai contoh, Ali ingin tukar nama geran tanah kepada pembeli dengan anggaran nilai hartanah tersebut berjumlah RM400,000. Jumlah duti setem yang perlu dibayar adalah seperti berikut:

(RM100,000 yang Pertama x 1%) + (RM300,000 yang Berikutnya x 2%)
= (RM1,000) + (RM6,000)
= RM7,000.00

2. Duti Setem Pinjaman Perumahan

Secara asasnya, anda akan dikenakan duti setem sebanyak 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman perumahan. Anda boleh merujuk cara pengiraan duti setem pinjaman perumahan seperti berikut:

(Peratus Duti Setem 0.5%) x Jumlah Pinjaman
= (0.5%) x RM400,000
= RM2,000

3. Yuran Guaman SPA/Pinjaman Perumahan

Selain duti setem, anda juga tertakluk pada yuran guaman sekiranya anda beli hartanah di Malaysia. Berikut merupakan kadar fi guaman yang perlu dibayar dalam proses tukar nama geran tanah mengikut peringkat harga rumah:

Peringkat Harga RumahKadar Fi Guaman (%)
RM500,000 yang pertama1
RM500,000 yang seterusnya0.8
RM2,000,000 yang seterusnya0.7
RM2,000,000 yang seterusnya0.6
RM2,500,000 yang seterusnya0.5

Sebagai contoh, Ali ingin tukar nama geran tanah dengan anggaran nilai hartanah semasa berjumlah RM400,000. Jumlah fi guaman yang perlu dibayar adalah seperti berikut:

= (RM400,000 yang Pertama x 1%)
= RM4,000

4. Kos Carian Tanah

Kos carian tanah terbahagi kepada dua kategori iaitu carian persendirian dan carian rasmi. Sebagai pembeli rumah, anda berhak untuk membuat carian tanah sebelum membuat bayaran rumah. Anda boleh buat carian persendirian sama ada melalui Pejabat Tanah atau melantik peguam untuk membantu anda dalam hal ini. Bagi carian rasmi pula, prosesnya sama seperti carian persendirian, cuma carian rasmi disertakan dengan cap Pendaftar Tanah dan tandatangan pegawai yang berkenaan.

Di Malaysia, kos carian tanah adalah berbeza-beza mengikut negeri. Berikut merupakan kos carian tanah di beberapa negeri di Malaysia:

NegeriFi Carian (RM)
RasmiPersendirian
Johor15060
Selangor/Kuala Lumpur5030
Perak8040
Negeri Sembilan4020
Pahang10050
Kedah7330

Nota: Fi kos carian ini adalah betul seperti yang tertera pada laman web Pejabat Tanah Negeri setakat tarikh artikel ini dikeluarkan.

5. Kos Lain

Selain kos-kos yang dinyatakan di atas, anda mungkin tertakluk pada kos-kos lain seperti bayaran pendaftaran dan sebagainya. Berikut merupakan antara kos lain yang terlibat bagi prosedur tukar nama geran tanah:

        1. Bayaran duti setem (setiap dokumen): RM10
        2. Affidavit: RM50
        3. Bayaran Pendaftaran: RM100

Semoga panduan tukar nama geran tanah dan kos yang terlibat ini boleh membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik bagi memastikan proses tukar nama geran tanah menjadi lebih lancar. Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk kediaman baru anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.