Versi asal artikel ini adalah hak milik Pesan by Qoala, Qoala Malaysia.
Ramai yang masih tidak ketahui tentang kepentingan wasiat. Menurut sebuah laporan akhbar pada tahun 2016, nilai harta pusaka yang tidak dituntut adalah dianggarkan berjumlah RM60 billion!
Cara terbaik menyelesaikan permasalahan ini ialah dengan memastikan anda telah menulis Wasiat. Malangnya, hanya sebahagian kecil rakyat Malaysia telah menulis Wasiat mereka. Hal ini diburukkan lagi apabila masyarakat kita yang tidak mengetahui bahawa aset mereka boleh dibekukan apabila meninggal dunia.
Sebelum kita terus kepada topik kepentingan wasiat, penting untuk kita ketahui definisi wasiat terlebih dahulu.
Apa Itu Wasiat?
Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, wasiat merupakan iqrar seseorang yang dibuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas berlaku kematian.
Walaupun hukum berwasiat merupakan satu perbuatan sunat yang digalakkan, namun hukum berwasiat juga boleh berubah mengikut situasi seperti berikut:
Hukum Wajib Wasiat
Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan terutama yang berbentuk ‘hak ALLAH’ seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat ditunaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya. Begitu juga tanggungjawab berkaitan hak manusia seperti mempunyai harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan.
Haram
Wasiat menjadi haram apabila seseorang mewasiatkan sesuatu perkara yang diharamkan oleh syarak atau bertujuan untuk memudaratkan ahli waris.
Harus
Wasiat menjadi harus jika dibuat kepada orang kaya sama ada daripada kaum kerabat atau mana-mana pihak dengan tidak mempunyai tujuan tertentu. Jika wasiat itu bertujuan untuk melakukan kebajikan dan menghubungkan tali silaturahim, maka ia menjadi sunat.
Makruh
Wasiat menjadi makruh jika pewasiat mempunyai harta yang sedikit namun pada masa yang sama mempunyai waris yang miskin yang sangat memerlukan harta. Demikian juga adalah tidak wajar memberikan wasiat kepada orang fasik atau orang yang sering melakukan maksiat kerana dibimbangi pemberian wasiat itu akan meningkatkan lagi kecenderungannya untuk melakukan maksiat.
Pembahagian Wasiat
Untuk pengetahuan anda, penerima wasiat hanya untuk bukan waris sahaja. Kadar wasiat tidak boleh melebihi kadar 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta. Sekiranya kadar adalah melebihi 1/3, persetujuan ahli waris perlu didapatkan. Persetujuan waris tidak diperlukan sekiranya kurang daripada jumlah tersebut. Wasiat hanya perlukan ijab sahaja dan pindah milik harta hanya boleh berlaku selepas kematian. Namun begitu, simpanan KWSP atau polisi insurans tidak boleh di wasiatkan. Wang tersebut akan diberikan kepada penama kedua-dua perkara ini yang tertakluk di bawah akta yang berbeza.
Pengagihan harta pusaka boleh mengambil masa lebih dari lima tahun sekiranya melibatkan kes yang rumit. Kematian anda akan diklasifikasikan sebagai ‘tak berwasiat’ jika anda meninggal dunia tanpa wasiat. Hal ini demikian kerana, anda tidak meninggalkan arahan akan siapa yang patut menerima harta pusaka anda, termasuk jumlah dan nilai peninggalan tersebut. Harta-harta ini termasuk kesemua simpanan bank, hartanah dan aset-aset lain kepunyaan anda.
Orang Islam
Di Malaysia, orang Islam dan bukan Islam tertakluk di bawah undang-undang pewarisan yang berbeza. Bagi orang Islam, harta pusaka yang tidak diwasiatkan akan dibahagikan mengikut hukum Faraid. Harta pusaka yang tidak dituntut pula akan diberikan kepada Baitulmal. Sekiranya benefisiari belum mencapai usia 18 tahun, kurang upaya atau cacat akal, bahagian mereka akan didepositkan ke dalam Akaun Amanah di AmanahRaya. Ia boleh dituntut apabila benefisiari berusia 18 tahun atau usia yang dipersetujui di dalam Surat Ikatan Amanah.
Orang bukan Islam
Bagi orang bukan Islam pula, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menguruskan pengebumian dan pembayaran hutang tertunggak. Seterusnya, baki harta pusaka atau wang yang tidak diwariskan itu tadi anda akan diberikan kepada benefisiari mengikut ketetapan Akta Pembahagian 1958 (pindaan 1997) untuk Semenanjung Malaysia dan Sarawak, manakala Intestate Succession Ordinance 1968 diguna pakai untuk Sabah.
Untuk benefisiari yang berusia bawah 18 tahun, seorang penjaga akan dilantik oleh mahkamah namun ini tidak bermakna penjaga itu mempunyai hak atau kuasa mutlak ke atas hara pusaka itu. Kebenaran dari mahkamah adalah perlu sekiranya si penjaga ingin mengeluarkan atau menggunakan wang peninggalan bagi menyara kos pendidikan serta kos-kos yang melibatkan benefisiari yang berusia bawah 18 tahun.
Kepentingan Wasiat
Sesungguhnya, kematian itu tidak boleh dijangka. Namun, kita boleh menentukan apa yang terjadi dengan harta yang ada selepas pemergian kita dengan membuat wasiat.
Apabila tiada wasiat yang dibuat setelah seseorang itu meninggal, kesemua aset akan dibahagikan berdasarkan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
Mengikut portal rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan, akta ini menerangkan takrif pusaka kecil. Ia juga menjelaskan bidang kuasa, proses kerja yang bermula dari permohonan pusaka, perbicaraan, pengeluaran perintah, hinggalah proses rayuan ke mahkamah tinggi.
Di samping akta, terdapat peraturan pembahagian pusaka yang menggariskan tatacara pelaksanaan dan pemakaian borang berkaitan dalam urusan penyelesaian pusaka kecil. Dalam menentukan pembahagian, Hukum Faraid dipakai bagi harta pusaka orang Islam, manakala Akta Pembahagian 1958 dipakai untuk harta pusaka orang bukan Islam.
Meninggal Dunia Tanpa Wasiat? Ini 4 Langkah Pembahagian Harta Mengikut Faraid
Apa akan berlaku kepada harta jika anda meninggal dunia sebelum sempat membuat wasiat? Sekiranya si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, harta pusaka orang Islam boleh dibahagikan melalui konsep faraid.
Apakah Itu Faraid?
Faraid adalah sebahagian daripada undang-undang Islam yang berkaitan dengan pembahagian aset kepada waris-waris yang sah seseorang yang telah meninggal dunia, berdasarkan hukum agama Islam. Asas hukum Faraid adalah berdasarkan Al-Quran dan Hadith.
Mengikut portal rasmi E-Syariah, harta pusaka (Faraid) terbahagi kepada dua, iaitu:
- a) Harta tidak alih seperti tanah dan rumah.
- b) Harta alih seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP, Tabung Haji, insuran, Koperasi, kereta, barang-barang kemas, dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, pengagihan faraid tak boleh berlaku secara serta merta. Ramai yang sedia maklum bahawa proses pembahagian harta pusaka tanpa wasiat akan mengambil masa yang panjang, dan boleh menjadi sangat rumit jika tidak dimohon dengan betul.
Harta pusaka akan dibekukan sejurus selepas anda meninggal dunia dan tidak boleh dituntut oleh sesiapapun. Harta tersebut hanya boleh diagihkan apabila kes pembahagian telah diselesaikan.
Di bawah adalah senarai tentang apa yang akan terjadi kepada harta anda apabila anda meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, dan apa yang perlu dilakukan oleh waris sah anda.
#1 Buat Permohonan Sijil Faraid
Bagi memulakan proses farid harta, atau pun memfailkan kes faraid, waris perlu menghantar borang bagi membuat permohonan sijil faraid.
Antara dokumen yang perlu disediakan oleh waris adalah:
- Borang permohonan yang lengkap.
- Salinan sijil kematian si mati atau surat akuan.
- Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran/surat akuan.
- Salinan geran harta/buku akaun/penyata.
- Sijil nilaian hartanah (jika ada).
- Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30/RM20/RM10).
#2 Ikuti Turutan Proses Dengan Teliti
Waris perlu memastikan yang semua proses diikuti dan dibuat dengan teliti supaya pengagihan dapat diluluskan dan diuruskan dengan lancar.
Inilah proses yang terlibat dalam permohonan Sijil Faraid:
- Menyerahkan permohonan.
- Terima permohonan.
- Semak.
- Jika lengkap, terima dan tandatangan.
- Siasatan terhadap waris dijalankan pada hari pendaftaran, atau pada hari lain seperti yang ditetapkan.
- Pengiraan akan dilakukan apabila siasatan selesai.
- Dapatkan sijil dalam tempoh 5 hari selepas siasatan setiap ahli waris selesai.
- Notifikasi akan diberi apabila siasatan telah tamat.
#3 Dapatkan Persetujuan Waris
Mengikut sistem Faraid, semua ahli waris menurut Al-Quran mesti bersetuju untuk memilih pentadbir yang sama. Perlantikan pentadbir tersebut juga mesti dilakukan secara bertulis.
Siapakah waris menurut Al-Quran dan pentadbir?
- Waris menurut Al-Quran adalah waris yang berhak untuk mendapatkan bahagian yang ditetapkan daripada harta si mati seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran.
- Pentadbir adalah seseorang yang dilantik untuk mentadbir harta peninggalan si mati seperti waris, bukan waris, institusi pengurusan harta pusaka atau peguam.
Cara-cara Buat Tuntutan Pembahagian Harta Pusaka Si Mati
Ramai beranggapan proses untuk membuat permohonan tuntutan pembahagian harta pusaka si mati ini rumit sehingga berbillion harta pusaka tidak dituntut. Sebenarnya kerumitan yang seringkali dijadikan alasan oleh seseorang waris dalam membuat permohonan pembahagian harta pusaka biasanya apabila mereka kurang pengetahuan dan tidak mahu menggunakan pelbagai kemudahan yang telah ditawarkan. Prosedur pembahagan harta Pusaka hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti berikut:
#1 Harta Pusaka Besar
Permohonan untuk mendapat surat kuasa mentadbir di bawah kategori harta pusaka besar hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Permohonan boleh dibuat oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu (termasuk Amanah Raya Berhad dan Baitulmal). Pentadbirannya adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir pusaka. Setelah Surat kuasa mentadbir pusaka diperolehi, pentadbir hendaklah mendaftarkan dirinya di pejabat tanah supaya semua surat-surat hak milik tersebut didaftarkan atas pemohon sebagai pemegang amanah harta si mati.
Setelah itu pentadbir perlu menyenaraikan semua aset si mati (selepas membuat carian) dan mendapatkan Perintah Faraid dari Mahkamah Syariah. Pentadbir bertanggung jawab untuk menyelesaikan liabiliti-liabiliti si mati termasuklah kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati. Kemudian, pentadbir hendaklah memohon satu perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid atau secara muafakat (takharuj dalam kalangan waris).
#2 Harta Pusaka Kecil
Harta pusaka kecil adalah harta pusaka yang tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu si mati yang meninggalkan harta tak alih sahaja atau harta tak alih beserta dengan harta alih dan nilai kesemuanya tidak melebihi RM 2,000,000. Permohonan pembahagian bagi harta pusaka kecil boleh dibuat oleh (a) Waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya; (b) Pemiutang dan pengkaveat; (c) Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah; (d) Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah si mati; (e) Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah; ( f) Amanah Raya Berhad. Permohonan dibuat dengan mengisi borang A dan mengemukakan beberapa dokumen termasuk sijil kematian, permit pengkuburan dan dokumen berkaitan harta si mati serta sijil carian harta.
Borang A hendaklah diserahkan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, JKPTG terdekat. Notis Perbicaraan akan dikeluarkan selepas itu melalui borang D dan semua waris dikehendaki hadir. Waris yang tidak dapat hadir boleh kemukakan surat persetujuan (Borang DDA). Perbicaraan diadakan bagi menentukan harta si mati, menentukan waris si mati, menentukan bahagian waris dan menentukan cara pembahagian. Penyelesaian pusaka akan dibuat oleh Pegawai Pusaka Kecil mengikut hukum syarak atau secara muafakat jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju (takharuj). Pembahagian dilakukan setelah pentadbir yang dilantik melalui borang F menyelesaikan kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati. Satu perintah pembahagian akan dikeluarkan kemudiannya melalui borang E dan pihak waris hendaklah mengemukakan hakmilik tanah (Geran) ke Pejabat Tanah berkaitan untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian tersebut.
#3 Harta Pusaka Ringkas
Harta pusaka ringkas adalah terdiri daripada harta alih sahaja seperti wang tunai tidak melebihi RM 600,000.00, saham-saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta, wang simpanan di dalam bank dan sebagainya. Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas ini hendaklah dibuat kepada Ketua Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad. Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju (takharuj). Pembahagian dilakukan setelah pentadbir yang dilantik menyelesaikan kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati.
Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk kediaman baru anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans rumah yang selamat, mudah dan berpatutan.