Versi asal artikel ini adalah hak milik Pesan by Qoala, Qoala Malaysia.
Hariz Hafiz Terbit: January 7, 2022 via qoala.app
Adakah anda sedang mencari rumah pertama namun tidak tahu macam mana nak beli rumah? Keputusan untuk beli rumah pertama tidak kira rumah subsale atau rumah undercon, ia sememangnya satu keputusan yang besar dalam hidup. Malah, proses beli rumah amat menakutkan dan memeningkan lebih-lebih lagi jika tiada ilmu atau persediaan yang mencukupi.
Meskipun begitu, prosedur beli rumah tidaklah sesukar yang disangkakan jika anda ketahui cara membeli rumah dan proses beli rumah yang betul.
Artikel ini akan menerangkan tips beli rumah baru dari pemaju dan kesilapan-kesilapan biasa yang sering dilakukan oleh pembeli rumah pertama untuk membantu memudahkan proses pembelian rumah pertama anda.
7 Tips Beli Rumah Pertama di Malaysia yang Anda Perlu Tahu
Proses beli rumah tidaklah terlalu rumit jika dilakukan dengan cara yang betul. Sekiranya anda dalam perancangan membeli rumah pertama, berikut tujuh cara beli rumah pertama yang anda perlu ambil kira sebelum membeli rumah baru untuk rujukan dan panduan anda.
1. Kemampuan Kewangan
Mungkin ramai dalam kalangan anda yang ingin beli rumah pertama tertanya-tanya berapakah gaji yang perlu untuk beli rumah atau adakah gaji RM1,500 boleh beli rumah? Secara amnya, anda boleh gunakan kalkulator di internet untuk menjawab soalan ini. Anda hanya perlu masukkan gaji serta komitmen bulanan dan tempoh pinjaman untuk mengetahui jumlah pinjaman yang sesuai dengan kemampuan anda. Untuk membeli rumah, pakar kewangan berpendapat pinjaman perumahan atau ansuran bulanan anda tidak boleh melebihi satu pertiga (⅓) daripada gaji kasar. Jika gaji anda ialah RM3,000 sebulan, anda tidak sepatutnya membayar lebih daripada RM900 untuk pinjaman rumah pertama.
2. Beli Rumah Pertama yang Sesuai
Setelah mengetahui jumlah pinjaman yang layak, anda boleh melakukan tinjauan dan mencari rumah yang sesuai dengan bajet anda. Anda boleh pilih jenis rumah yang sesuai dengan keperluan dan citarasa anda seperti kondominium, apartmen, rumah teres, semi-D, banglo dan sebagainya. Secara amnya, banyak perkara penting yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih atau beli rumah pertama, antaranya:
- Lokasi rumah;
- Jumlah kaki persegi (kps);
- Kemudahan lain yang ada seperti sekolah, pasaraya, masjid dan sebagainya.
Sekiranya anda sudah mengetahui jenis rumah yang anda mahukan, anda boleh minta bantuan ejen hartanah untuk membantu anda. Biasanya, ejen hartanah akan menasihati anda tentang perkara berkaitan pembelian rumah seperti nilai pasaran semasa, latar belakang dan rekod pemaju.
3. Peguam Hartanah
Melantik peguam yang sesuai sangat membantu terutamanya melibatkan proses pembelian rumah. Peguam hartanah boleh membantu anda memahami proses dan dokumen terlibat (termasuk istilah asing dalam perjanjian) dengan lebih baik dan memastikan anda tidak terlepas pandang perkara-perkara penting dalam perjanjian.
4. Dokumen Jual Beli
Selain itu, anda juga perlu memahami dokumen-dokumen berkaitan pembelian rumah antaranya Letter of Offer to Purchase (Surat Tawaran Pembelian). Apa itu Letter of Offer to Purchase? Ia merupakan dokumen rasmi yang menyatakan hasrat anda untuk membeli rumah tersebut. Biasanya, dokumen ini mengandungi maklumat-maklumat seperti:
- Maklumat pembeli dan penjual;
- Jumlah yuran tempahan dan baki bayaran pendahuluan yang perlu dijelaskan termasuk tempoh penjelasan bayaran;
- Tempoh untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli atau Sales and Purchase Agreement (SPA);
- Tempoh bayaran balik pinjaman.
Selain Letter of Offer to Purchase, kontrak Perjanjian Jual Beli (SPA) merupakan antara dokumen jual beli yang perlu diberi perhatian yang menyatakan terma dan syarat pembelian anda. Berikut merupakan maklumat yang biasa dinyatakan dalam SPA:
- Maklumat berkaitan rumah yang dibeli termasuk alamat, keluasan tanah atau unit dan sebagainya;
- Jenis hak milik sama ada pegangan bebas (freehold) atau pajakan (leasehold);
- Maklumat terperinci mengenai binaan rumah (bahan yang digunakan untuk pintu, tingkap, dinding atau lantai);
- Jangkaan tarikh rumah dijangka siap.
5. Pinjaman Perumahan atau Loan Rumah
Secara amnya, pinjaman perumahan (pembiayaan perumahan) atau loan rumah merupakan perjanjian persetujuan antara anda dan pihak bank. Pembiayaan perumahan terbahagi kepada beberapa kategori, antaranya:
- Pinjaman perumahan konvensional;
- Pinjaman perumahan fleksi;
- Pembiayaan perumahan Islamik.
Jumlah pinjaman, kadar faedah pinjaman perumahan dan tempoh pinjaman merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian. Selain itu, terma dan syarat setiap pakej pinjaman yang ditawarkan adalah berbeza bergantung pada bank – buat perbandingan sebelum memilih pinjaman yang sesuai untuk anda.
6. Pindah Milik Rumah
Proses pindah milik rumah merupakan proses pertukaran milikan daripada penjual kepada pembeli. Ia sekali gus menandakan anda sebagai pemilik rumah yang sah. Berikut dokumen-dokumen berkaitan pindah milik rumah yang perlu anda tahu:
- Notis Pemilikan Kosong (Vacant Possession) yang merujuk proses serahan rumah kosong dan apa-apa kelengkapan dan perabot lain yang disenaraikan dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) kepada pembeli rumah selepas transaksi pembelian rumah tersebut selesai;
- Perakuan Siap dan Pematuhan atau Certificate of Completion and Compliance (CCC) yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan menyatakan hartanah terbabit telah siap dan selamat untuk diduduki;
- Memorandum Permindahan atau Memorandum of Transfer (MOT) yang merujuk pada dokumen yang ditandatangani oleh pembeli untuk pindah hak milik daripada penjual.
7. Tempoh Tanggungan Kecacatan, Tuntutan Ganti Rugi
Tempoh Tanggungan Kecacatan atau Defects Liability Period (DLP) merujuk pada tempoh jaminan daripada pemaju untuk membaiki sebarang kecacatan yang dikenal pasti selepas sesuatu kerja diperakukan siap. Semua perbelanjaan untuk membaik pulih kecacatan ini hendaklah ditanggung oleh pemaju dan tiada sebarang kos tambahan dikenakan. Biasanya, tempoh tanggungan kecacatan bermula daripada tarikh serahan milikan kosong atau tarikh anda menerima kunci sehingga 24 bulan daripada tarikh tersebut.
Selain DLP, turut terdapat Tuntutan Ganti Rugi (LAD) sekiranya pemaju lewat menyerahkan milikan kosong hartanah. Secara asasnya, tuntutan LAD boleh dibuat jika pemaju lambat menyiapkan pembinaan seperti yang dipersetujui berdasarkan klausa dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) anda.
Beli Rumah: 7 Kesilapan yang Sering Dilakukan Pembeli Rumah Pertama
Semua orang semestinya mempunyai impian untuk memiliki rumah seawal mungkin. Namun begitu, jika dilakukan secara tergesa-gesa ia mungkin boleh memberi kesan kepada kewangan anda. Berikut tujuh kesilapan biasa yang sering dilakukan oleh pembeli semasa beli rumah pertama:
1. Rumah Pertama: Jenis Hartanah
Antara kesilapan biasa dilakukan oleh pembeli rumah pertama ialah tidak membuat kajian tentang jenis hartanah yang ingin dibeli. Secara amnya, anda perlu mengenal pasti jenis rumah, pinjaman bank serta kadar faedah yang ditawarkan. Jika anda membeli rumah seperti apartmen atau kondominium, anda perlu bersiap sedia dengan kos insurans rumah dan kos selenggara kemudahan dan bangunan (hak milik strata). Selain itu, anda juga disarankan untuk menyelidik rekod pemaju hartanah untuk mengelakkan rumah anda menjadi projek terbengkalai.
2. Komitmen Melebihi Kemampuan
Ramai dalam kalangan pembeli rumah pertama membuat keputusan beli rumah tanpa mengambil kira komitmen sedia ada. Sekiranya anda mempunyai nisbah khidmat hutang atau Debt Service Ratio (DSR) yang tinggi, anda mungkin akan berdepan masalah sekiranya ingin membuat pinjaman atau loan bank. Kenal pasti bajet serta kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman serta kos-kos pemilikan rumah lain yang perlu ditanggung. Beli rumah yang sesuai dengan bajet, pendapatan dan komitmen kewangan anda.
3. Mengambil Mudah Kos Pemilikan Rumah
Sekiranya anda merancang untuk beli rumah second hand, anda perlu sedar bahawa anda bukan sahaja perlu menjelaskan bayaran downpayment semata-mata tetapi anda juga mungkin terikat dengan proses dan kos beli rumah subsale tertentu seperti yuran guaman, duti setem dan sebagainya. Oleh sebab itu, penting untuk anda mempunyai ilmu dan maklumat hartanah yang mencukupi untuk mengurangkan impak terhadap kewangan anda.
4. Beli Rumah Pertama: Skim Rumah Mampu Milik
Beli rumah pertama bukanlah bermaksud anda perlu bermula dengan banglo yang dilengkapi perabot moden dan mahal. Tiada masalah untuk membeli rumah kecil sebagai rumah pertama kerana harga rumah akan semakin meningkat saban tahun. Jika anda ingin mendapatkan rumah pada harga mampu milik, anda mungkin boleh mempertimbangkan skim perumahan yang disediakan oleh kerajaan. Biasanya, banyak insentif perumahan yang ditawarkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama antaranya Rumah Mampu Milik Johor, Rumah Mampu Milik Terengganu, Rumah Mampu Milik Selangor dan sebagainya.
5. Kawasan Kejiranan, Rangkaian Internet dan Telefon
Antara perkara yang sering diabaikan oleh pembeli semasa beli rumah pertama ialah mereka mengambil mudah faktor-faktor lain seperti lokasi kawasan perumahan yang ingin dibeli. Jika boleh, luangkan masa meninjau kawasan kejiranan terutamanya pada waktu malam dan kenal pasti sama ada terdapat kemudahan asas seperti sekolah, LRT, masjid dan sebagainya. Ia bagi memastikan kawasan kejiranan ini selamat dan selesa untuk didiami. Selain itu, periksa juga rangkaian liputan telefon dan internet di kawasan tersebut untuk mengelakkan anda sakit hati jika kawasan perumahan anda tiada rangkaian telekomunikasi yang stabil.
6. Tidak Memahami Dokumen SPA
Fahami terma dan syarat perjanjian perumahan yang terkandung dalam dokumen pembelian rumah. Rujuk peguam yang anda lantik sekiranya anda berdepan sebarang kemusykilan. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan sebarang pertikaian atau masalah (jika ada) di kemudian hari.
7. Tidak Semak Skor Kredit
Laporan dan skor kredit merupakan salah satu bahagian terpenting yang perlu diberi perhatian sebelum anda buat sebarang pinjaman perumahan. Oleh itu, anda perlu pastikan status kredit berada dalam keadaan baik. Laporan CCRIS membolehkan pihak bank mengakses maklumat untuk mengetahui kemampuan peminjam membayar balik pinjaman baharu atau mengenal pasti sejarah pembayaran pinjaman sebelum ini.
Semoga perkongsian tips hartanah atau tips beli rumah ini boleh membantu memudahkan urusan pembelian rumah pertama anda. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans rumah. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.
–